Omicron rampas kedudukan Delta sebagai varian dominan di Sarawak


KUCHING: Varian Omicron kini merampas 'takhta' Delta sebagai varian dominan COVID-19 dengan kadar pengesanan 78 peratus yang menular di Sarawak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHMC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera menerusi laporan terkini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata, sejumlah 58 sampel berjaya dijujuk dalam tempoh daripada data pengawasan kes-kes positif dilakukan dari 3 hingga 26 Januari tahun ini.

"Daripada jumlah ini, 45 varian Omicron dan 13 Delta VoGs dikesan dengan kadar pengesanan 78 peratus mencadangkan Omicron telah menggantikan Delta sebagai varian dominan yang menular di Sarawak," katanya dipetik menerusi laporan Utusan Borneo Online hari ini.

Tambahnya, jumlah kes Omicron ini dikesan menerusi sampel-sampel yang diambil dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri.

"Kebanyakkan daripada varian ini adalah kumpulan BA.1.1 tetapi tiga kes kumpulan BA.2 yang lebih cepat berjangkit dikenal pasti di Kapit yang mana majoriti kes-kes ini berlaku menerusi penularan komuniti," dedahnya.

Selain itu, Dr David menasihatkan rakyat di negeri ini yang belum mendapatkan dos penggalak agar segera berbuat demikian memandangkan berlakunya peningkatan kes di Malaysia.

Beliau yang juga ahli Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak berkata, kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meningkatkan tahap antibodi peneutralan bagi melindungi seseorang daripada jangkitan Omicron.

"Orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan tidak mengadakan perhimpunan komuniti jika perlu bagi mengelak berlakunya penularan komuniti," ujarnya.

IHMC dari UNIMAS telah mengesan varian SARS-SoV-2 menular di negeri ini.
Next Post Previous Post