Mayat lelaki jatuh sungai semasa memukat ditemukan selepas tiga hari


SIBU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui lemas dekat sini, tiga hari selepas dia dilaporkan hilang ketika memukat ikan di Sungai Rajang berdekatan Pengkalan Sungai Maaw Paradom.

Sia Yik Heng, 63, dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan mayatnya ditemui kira-kira jam 9.35 pagi tadi oleh orang awam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, mayat mangsa dijumpai berdekatan Sanyan Playwood Industrial sebelum pasukan bomba melakukan operasi mengangkat mayat untuk dihantar ke Jeti Sungai Maaw.


Menurut laporan awal, isteri mangsa telah membuat aduan sekitar jam 9 malam pada Sabtu lalu mengatakan suaminya tidak dapat dihubungi setelah keluar memukat ikan di Sungai Rajang pada pagi kejadian.

Difahamkan, pengadu turut mengatakan bahawa mangsa telah berjanji akan balik ke rumah pada jam 12.30 tengah hari untuk menghantar anak ke lapangan Terbang Sibu.


"Bagaimanapun mangsa tidak pulang ke rumah seperti yang dijanjikan dan gagal untuk dihubungi. Ahli keluarganya kemudian berusaha mencari mangsa di kawasan berdekatan pada sebelah petang, namun usaha pencarian mangsa menemui jalan buntu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas PGO, ahli keluarga mangsa hanya menjumpai kereta mangsa dalam keadaan berkunci ditinggalkan di pengkalan Jeti Nan Chong Feri Sungai Maaw Sibu sebelum mereka bertindak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut dibantu lapan anggota polis dan tiga anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Next Post Previous Post