Maxis Lancar Kempen ‘Rangkaian Kita Rangkaian Malaysia’


KUALA LUMPUR—Maxis Bhd melancarkan kempen jenama terbarunya, dikenali sebagai '’Rangkaian Kita Rangkaian Malaysia'’ (RKRM) bertujuan memperkasakan rakyat dan perniagaan Malaysia untuk bersalinghubung dengan pelbagai cara dan pada setiap masa.

Kempen ini dipacu oleh evolusi Maxis daripada penyedia telekomunikasi mudah alih kepada pakar kesalinghubungan dan penyelesaian digital yang menawarkan pelbagai penyelesaian untuk setiap segmen, dikuasai oleh rangkaian 4G terkemuka, liputan fiber/gentian serta inovasi 5G terbaik, katanya dalam satu kenyataan.

"Maxis adalah jenama tempatan yang dikenali selama lebih dari dua dekad. Pelaburan dan kerjasama berterusan kami telah menghasilkan rangkaian komuniti yang kukuh dan rangkaian tertumpu yang paling meluas di negara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Gokhan Ogut kepada pemberita selepas melancarkan kempen RKRM hari ini.

"Semangat RKRM adalah tentang meraikan kepelbagaian dan Maxis akan terus berkhidmat kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat berdasarkan setiap keperluan unik mereka," tambah beliau.


Syarikat itu seterusnya menjelaskan RKRM mewakili pengukuhan tujuan jenama Maxis, '’Terus Menerajui'’ yang dilancarkan pada 2020 sambil menambah kempen itu akan didorong oleh tiga bidang teras iaitu Kesalinghubungan bila-bila masa, di mana jua; Keupayaan dan penyelesaian digital yang meluas; dan Terus berhubung tanpa risau dengan bantuan pakar 24/7.

"Bagi pengguna, mereka boleh memperkasakan gaya hidup digital mereka dengan rangkaian terluas serta peranti yang mudah dimiliki sementara untuk perniagaan, mereka boleh memenuhi cita-cita mereka dengan penyelesaian ICT menyeluruh.

"’Pelanggan juga mempunyai akses bantuan pada bila-bila masa untuk bekerja dan bermain melalui saluran khidmat pelanggan, Maxpert, dan juga saluran dalam talian,” tambah beliau.

Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran Loh Keh Jiat berkata apabila negara menerima realiti digital, Maxis terus menjadi penyedia kesalinghubungan yang dipercayai dan penyelesaian tertumpu.


"Kami telah melihat perubahan dalam tingkah laku hasil daripada dunia fizikal dan digital yang berkembang menjadi hibrid sebenar. 

"Kesalinghubungan tertumpu bukan lagi "senang untuk dimiliki" tetapi kini menjadi satu keperluan, dan pembekal dijangka menawarkan lebih daripada sekadar sambungan mudah alih atau tetap agar kerja, pengajian dan kehidupan tidak terganggu," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post