Masalah dihadapi pengguna pelabuhan di Sarawak akan ditangani-Uggah
Uggah ditemani Majang (kiri dan tetamu kehormat lain mengadakan lawatan kerja di Pelabuhan Samalaju. |
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan melalui Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan sedang berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Kementerian dan Unit Perancang Negeri (SPU), pihak berkuasa pelabuhan serta operator akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan perkara tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Sabtu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan telah mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Samalaju di Bintulu.
Hadir sama Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Dato Majang Renggi, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Safri Zainuddin dan Pengarah SPU Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Dalam lawatan itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil kanan tujuh syarikat mega yang beroperasi di Zon Perindustrian Samalaju yang menggunakan pelabuhan tersebut bagi urusan eksport.
Jelasnya, berdasarkan laporan yang diterimanya, beliau maklum bahawa pengguna pelabuhan berdepan beberapa masalah serta kebimbangan yang menjejaskan perniagaan atau operasi pengguna.
Tambahnya, sebab itu, beliau bersama pihak berkaitan mengadakan lawatan kerja ke pelabuhan tersebut bagi mendengar sendiri keluhan pengguna berhubung isu berkenaan.
Menurutnya lagi, dalam mesyuarat yang akan datang, pihaknya berharap dapat menyelesaikan masalah-masalah itu bagi jangka pendek serta isu berkaitan pengurusan.
Selain itu, Uggah memberi jaminan, masalah tersebut mendapat perhatian serius kerajaan negeri yang sememangnya pro pelabur.
Tegasnya, syarikat-syarikat mega beroperasi di Zon Perindustrian Samalaju sangat penting kepada Sarawak.
Katanya, mereka bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, tetapi menyumbang kepada serta memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi lebih-lebih lagi sekarang Sarawak memulakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19, 2030.
"Anda sudahpun beroperasi di sini dan kami (kerajaan Sarawak) sudah tentu mahu anda kekal di sini buat selamanya.
"Kami juga mahu anda membantu mempromosikan Sarawak sebagai lokasi paling sesuai untuk melabur dalam kalangan pelabur-pelabur luar," ujarnya.
Oleh itu, Uggah berjanji kerajaan Sarawak akan terus menyediakan infrastruktur dan ekosistem diperlukan para pelabur.
Tambahnya kerajaan negeri tidak hanya menyediakan tetapi akan memastikan ia tersedia ada dan sentiasa efisien bagi membolehkan mereka memberi atau melakukan penyampaian terbaik.
Menurut Uggah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mengambil maklum masalah-masalah dihadapi pengguna pelabuhan-pelabuhan di negeri ini dan mahu ia segera diselesaikan.
Semasa mesyuarat itu semalam, wakil kanan syarikat-syarikat berkenaan diberi peluang menyuarakan masalah dan kebimbangan mereka yang mana masalah utama dihadapi mereka proses pusing ganti muatan yang lama menyebabkan terpaksa menanggung kos tinggi.
Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Yuki Nakamura berkata, tempoh pusing ganti muatan yang sesuai ialah lima hari seperti di pelabuhan-pelabuhan di Jepun.
"Di sini, ada masanya ia mengambil masa sehingga 14 hari," katanya.
Jelas beliau lagi, peralatan pelabuhan juga harus diselenggara lebih kerap bagi mengelak kerosakan yang boleh menjejaskan operasi pelabuhan.
Sehubungan itu, Nakamura mencadangkan agar teknologi dan peralatan terkini diperkenalkan.