Love scam: Waspada profil kacak
Gambar hiasan-Kredit Foto AJ BD Photography |
KUCHING— Sempena Valentine’s Day, Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak mengingatkan anggota masyarakat agar tidak mudah terpesona dengan gambar-gambar profil yang cantik atau tampan yang digunakan di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintenden Maria Rasid berkata, Sarawak merekodkan empat kes penipuan 'love scam' melibatkan nilai kerugian melebihi RM128,000 bagi tempoh 1 hingga 31 Januari tahun ini.
Beliau berkata, lazimnya mangsa-mangsa kes penipuan 'love scam' berkenalan dengan suspek melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, laman menjadi jodoh dan sebagainya.
"Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui aplikasi Whatsapp atau Messenger mengatakan mencintai mangsa dan akan datang ke Malaysia untuk berkahwin dengan mangsa.
"Suspek turut mengatakan membawa bersama hadiah, barangan kemas, mata wang asing dan sebagainya untuk diberikan kepada mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas itu, tambah Maria ahli sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghubungi mangsa mengatakan kekasih mangsa ditahan pihak berkuasa kerana membawa matawang asing yang banyak.
"Mangsa kemudian diminta membuat bayaran ke akaun individu tidak dikenali (keldai akaun) kononnya untuk melepaskan kekasih mereka dari tahanan pihak berkuasa.
"Selepas itu,kekasih media sosial tidak dapat dihubungi oleh mangsa," jelasnya.
Dedah beliau lagi, pada tempoh 1 Januari 2022 sehingga 13 februari 2022, sebanyak 66 keldai akaun telah dituduh di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil Sarawak 1958 kerana terlibat dalam kes penipuan di Sarawak.
Katanya, sebanyak dua keldai akaun melibatkan kes ‘Love Scam' telah dituduh di Miri pada tempoh tersebut.
"Antara hukuman yang dikenakan ke atas keldai akaun adalah denda RM500," tegasnya.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna media sosial agar tidak mengemaskini status yang menunjukkan anda berada dalam kesunyian, sedang mencari pasangan hidup, terdesak untuk memiliki seseorang atau sebagainya kerana status seperti ini akan menarik perhatian penjenayah siber.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pujian atau pujuk rayu rakan media sosial.
"Jangan terlalu mudah percaya dengan apa-apa tawaran seperti pelaburan sesuatu projek, pemberian hadiah, barangan kemas, mata wang asing dan sebagainya dari rakan media sosial yang dikatakan dari luar negara," ujarnya.
Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau infoline di talian 013-211 1222 (whatsapp/sms) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes
jenayah dalam talian.