Lori APM tenggelam semasa bantu mangsa banjir
Screenshot credit Ustaz Maliaman Kassim |
HULU TERENGGANU—Ahli Dewan Undangan Negeri
Ajil Maliaman Kassim hari ini berdepan detik cemas apabila lori yang
dinaiki ketika misi bantuan dihanyutkan arus deras berhampiran Sungai
Kampung Lebak dekat sini.
Insiden pada 2.15 petang itu meyebabkan semua bahan
makanan seperti beras dan sardin serta pakaian untuk mangsa banjir di sekitar
Hulu Berang tidak dapat diselamatkan.
"Saya bersama dengan 13 anggota Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia (APM) Terengganu ingin menghantar barangan keperluan kepada
mangsa banjir namun nasib tidak menyebelahi kami kerana lori yang dinaiki
dibawa arus deras.
"Ini adalah pengalaman yang sangat mendebarkan bagi saya, kami menunggu hampir 15 minit untuk diselamatkan menggunakan bot APM," katanya ketika dihubungi Bernama.
Justeru, beliau memohon maaf kerana tidak dapat menghantar
barangan yang telah disediakan kepada mangsa banjir dan akan berusaha
menyegerakan bantuan kepada mereka secepat mungkin.
Terdahulu, sekumpulan wartawan dan jurugambar termasuk
daripada Bernama sepatutnya menaiki lori sama yang bertolak dari Ibu
Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini namun ia dibatalkan pada saat
akhir.
-- BERNAMA