Lembaga Lada Malaysia terokai pasaran Timur Tengah
KUALA LUMPUR — Lembaga Lada Malaysia (MPB) sedang rancak mempromosikan produk lada Sarawak dengan menerokai pasaran baharu di Timur Tengah.
Pengerusi MPB Baharuddin Dato’ Mokhsen berkata, pihaknya telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan empat buah pemain industri global, dua daripada melibatkan syarikat pengimport dan pengedar makanan dari Timur Tengah.
Katanya, syarikat tersebut ialah Savola Group yang beroperasi di tujuh negara termasuk Arab Saudi, Mesir, Iran, Turki, Algeria, Morocco dan Sudan manakala AMG Sons Group, syarikat pengimport makanan Mesir yang berpangkalan di Kaherah.
“Sebelum ini pasaran tradisi kita melibatkan negara Jepun dan China. Pasaran baharu ini dijangka menjana sumber pendapatan yang lebih tinggi kepada negara dan pemegang berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Malaysia Pavilion di Expo Dubai turut disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengetuai misi lawatan ke sana pada pada 23 hingga 28 Januari lalu.
Dua lagi syarikat ialah ANY Alameriah Co dari China dan Parag Gosh dari India.
Tambah Baharuddin, kementerian memberi mandat kepada MPB agar lebih agresif dan proaktif dalam mempromosikan lada .
“Eksport kami pada 2021 sebanyak 6,643 tan metrik bernilai RM135 juta dan kami kini berada di tempat keempat dalam kalangan negara pengeluar lada dunia selepas Vietnam, Indonesia dan India.”
Sehubungan itu MPB berterima kasih kepada Zuraida yang berpandangan jauh dan misi untuk menerokai pasaran Timur Tengah satu langkah sangat sesuai untuk menembusi pasaran di sana.
Katanya, inisiatif MPB memperkenalkan produk premium lada putih berkrim turut mendapat pujian daripada kementerian.
“Beliau yakin produk ini dapat menembusi pasaran antarabangsa dengan menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada negara,” katanya.
Baharuddin menambah, kesungguhan kementerian untuk mewujudkan permintaan yang lebih tinggi dan membuka pasaran baharu akan membantu meningkatkan pendapatan kira-kira 37,000 pekebun kecil lada.