Lebuhraya tanpa tol Sarawak siap hujung tahun ini, Abang Jo

Abang Johari melakukan simbolik perasmian Jajaran Seksyen Nyabau Lebuhraya Pan-Borneo di Bintulu hari ini.

BINTULU-- Lebuhraya tanpa tol. Bina lebuh raya tanpa tol. Itu pesan keramat Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan. 

Impian itu bakal direalisasikan apabila Lebuhraya Pan Borneo fasa 1 siap pada penghujung tahun ini nanti, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Menurutnya, beliau yang meneruskan kesinambungan kepimpinan Tok Nan pada masa sekarang akan memastikan yang lebuhraya ini "Tanpa Tol" memberikan impak besar terhadap pembangunan di negeri ini khususnya dari segi pembangunan termasuk sosioekonomi penduduk yang tinggal di sepanjang laluan berkenaan.

"Dengan kekangan wabak Covid-19, penyiapan projek Pan-Borneo mengalami kelewatan, namun ianya akan disiapkan sebagaimana yang dijanjikan bagi memenuhi kehendak rakyat Sarawak yang menginginkan jaringan jalan raya yang baik dan moden," jelasnya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Jajaran Seksyen Nyabau di Lebuhraya Pan-Borneo hari ini.


Jajaran Seksyen Nyabau sepanjang 1.2 kilometer dan merupakan yang terpanjang di Negeri Sarawak.

Fasa Satu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer bermula dari Telok Melano ke Miri dimulakan pada Oktober 2015.


Menurutnya, dalam jangkamasa panjang, jajaran ini akan menyediakan jaringan jalan raya yang moden dan terbaik buat kawasan Nyabau serta kawasan sekitarnya khususnya mengurangkan kadar kesesakan jalan di situ terutama pada waktu puncak.

Justeru itu katanya, pembangunan yang berterusan merupakan hasil daripada kecekapan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mentadbir negeri ini yang mana hanya anak jati negeri ini sahaja yang memahami aspirasi rakyat Sarawak.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada rakyat negeri ini khususnya di Bintulu yang memberikan mandat besar kepada GPS untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di Bandar Perindustrian ini," tambah beliau.

Next Post Previous Post