Lebih 1,000 masyarakat Lun Bawang tandatangani petisyen bantah cadangan UTPF


KUCHING: Lebih 1,000 masyarakat Lun Bawang menandatangani petisyen membantah cadangan mengisytiharkan kawasan hutan di Lawas sebagai Hutan Lindung Ulu Trusan (UTPF).

Petisyen tersebut telah diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba' Kelalan, Baru Bian bersama Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) Robin Lusong di Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Memetik laporan Utusan Borneo Online Baru menerusi kenyataannya berkata, petisyen itu ditandatangani oleh masyarakat Lun Bawang yang mana tanah mereka terjejas oleh UTPF sekiranya cadangan berkenaan diteruskan.

Katanya, Ketua Menteri menerima petisyen ini dan menunjukkan kerajaan bersedia untuk berunding dengan rakyat untuk menentukan kawasan yang perlu dikeluarkan dan dipelihara, dan hak mereka harus diakui.

"Ini adalah langkah yang dialu-alukan dan saya memberi jaminan kepada Ketua Menteri tentang kesediaan saya untuk menyelaraskan dialog dan rundingan antara kerajaan dan rakyat Ba’ Kelalan," katanya.

Tegas Baru, sesi penglibatan bersama pemilik tanah sepatutnya diadakan sebelum cadangan itu dibuat.

Bagaimanapun katanya ia masih belum terlambat untuk berbuat demikian dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas keterbukaannya dalam perkara berkenaan.

Menurut Baru, kedua-dua mereka turut bersetuju dengan cadangan untuk melibatkan diri bersama masyarakat.

Dalam pertemuan itu, katanya, beliau mengambil kesempatan untuk mengemukakan permohonan kepada Ketua Menteri supaya Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) dipanjangkan ke Kampung Pa Berunut atas beberapa alasan.

Jelasnya, ia mengikut penjajaran asal SSLR seperti yang dirancang dan diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan bajet untuk pembinaan telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan serta sambungan ini hanya melibatkan penambahan 10 kilometer.

"Ia akan menghubungkan ke cadangan jajaran jalan yang menghubungkan Limbang, yang akan meningkatkan kesalinghubungan untuk penduduk di kawasan itu," ujarnya.

Selain itu, beliau bersyukur kerana Ketua Menteri menerima permohonan beliau dan berharap SSLR akan dibina mengikut jajaran seperti yang dirancang oleh Kementerian Kerja Raya.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad.
Next Post Previous Post