Lada Malaysia sasar tembusi pasaran Timur Tengah

Gambar kredit Lembaga Lada Malaysia (MPB)

KUALA LUMPUR— Lembaga Lada Malaysia (MPB) kini mempamerkan inisiatif kemampanannya serta produk ladanya di Ekspo Dubai 2020, bertujuan untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan berkembang dalam pasaran baharu di seluruh rantau itu.


Penolong Pengarah MPB Asmah Morshidi berkata agensi tersebut turut mencari peluang untuk mengembangkan kemunculannya dalam pasaran semasa seperti Jepun, China dan Korea.

“Ini seterusnya, akan meningkatkan nilai lada Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada industri lada negara dan ekonomi secara keseluruhannya,” kata Asmah dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi penyertaannya dalam  Minggu AgriKomoditi Mampan (Agrikomoditi Makanan) Pavilion Malaysia pada Ekspo Dubai 2020, MPB akan mengadakan perbincangan untuk pemain industri berkongsi penemuan, inovasi dan cabaran dalam industri lada global.

Penyertaannya juga akan meningkatkan kemunculan global dan ketersediaan Lada Sarawak yang berkualiti tinggi, dan seterusnya dapat melonjakkan permintaan produk itu, kata Asmah. 

Sementara itu, penyelidik MPB Dr Khew Choy Yuen berkata Ekspo Dubai 2020 memberi peluang kepada MPB untuk membincangkan mengenai produk baharu, peraturan import, trend penggunaan, kawalan kualiti dan menawarkan tawaran perdagangan kepada pembeli sedia ada dan bakal pembeli.

Penyelidik MPB juga akan berbicara mengenai pelbagai teknologi baharu yang dibangunkan, termasuk produk penyelidikan dan pembangunan baharu untuk meningkatkan pembungaan lada hitam, amalan pertanian lada organik mampan dan penambahbaikan tanaman bagi meningkatkan nilai ekonomi lada hitam. 

Industri lada hitam merupakan satu daripada tonggak utama ekonomi Malaysia, menyumbang US$581 juta (US$1=RM4.18) kepada keluaran dalam negara kasar negara pada 2020, kata MPB.

Hampir 98 peratus lada Malaysia dihasilkan di Sarawak, dengan keseluruhan lada hitam menyumbang hampir 70 peratus daripada eksportnya, manakala baki 30 peratus terdiri daripada lada putih, lada hijau dalam larutan garam dan lada bernilai tambah iaitu produk lada yang mempunyai nilai lebih tinggi daripada lada biasa.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post