Kucing, ejen kempen jauhi rasuah


SHAH ALAM— #RasuahBusters hari ini memperkenalkan karakter kucing yang dinamakan ‘Ejen Meow’, sebagai simbol bagi memberi gambaran dan kesedaran kepada rakyat untuk menjauhi jenayah rasuah.

Ketua #RasuahBusters Datuk Hussamuddin Yaacub berkata pemilihan kucing sebagai ejen untuk kempen menjauhi rasuah yang diusahakan pihaknya sejak setahun lepas adalah sesuai kerana sikap haiwan itu yang sentiasa cakna dan berwaspada dengan keadaan persekitaran.

“Tanggungjawab untuk menjaga dan memastikan khazanah negara tidak lagi dikhianati, (kerana rasuah) ini boleh kita lihat pada karakter kucing itu yang waspada kepada sesuatu keadaan,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Ejen Meow #RasuahBusters yang disiarkan melalui Facebook Sinar Harian, hari ini.

Hussamuddin berkata selain mempunyai sifat yang jinak dan disukai manusia, binatang peliharaan itu juga boleh diharapkan untuk menangkap binatang perosak dan berbahaya seperti tikus dan ular.

“Kita harap dengan Ejen Meow ini, orang semua mempunyai kesedaran tanggungjawab untuk menangkap tikus-tikus dan ular ini (pemberi dan penerima rasuah),” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post