Kos pembinaan meningkat bulan lalu
Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR— Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli telah menunjukkan peningkatan bagi semua kategori bangunan antara 0.2 dan 3.9 peratus pada Januari bagi Semenanjung Malaysia.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan
Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata trend yang sama
dapat dilihat bagi Sabah dan Sarawak yang masing-masing meningkat antara 0.1
dan 3.9 peratus serta 0.1 dan 3.4 peratus.
Purata harga unit besi yang terdiri daripada bar bulat
keluli lembut dan mycon 60 high tensile deformed bars telah meningkat sebanyak
0.6 peratus berbanding 1.1 peratus pada Disember 2021.
Peningkatan besi yang tertinggi telah direkodkan di Kota
Kinabalu sebanyak 2.4 peratus, diikuti Johor (1.8 peratus), Miri (1.0 peratus),
Kuching (0.5 peratus) dan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka
dan Negeri Sembilan (0.2 peratus).
Harga purata simen turut meningkat sebanyak 2.0 peratus pada
Januari 2022.
Tawau menunjukkan berlakunya peningkatan simen dengan
kenaikan sebanyak 5.6 peratus diikuti Sandakan (4.3 peratus), Miri (3.6
peratus), Kuching (3.4 peratus), Kota Kinabalu (2.7 peratus), Terengganu dan
Kelantan (0.9 peratus), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri
Sembilan dan Melaka (0.6 peratus), Johor (0.3 peratus) serta Pulau Pinang,
Kedah dan Perlis (0.2 peratus).
Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan indeks komponen
kabel tembaga naik antara 0.4 peratus dan 1.5 peratus pada Januari 2022
berbanding Disember 2021.
Berdasarkan data Harga Komoditi Bank Dunia, logam dan
mineral seperti aluminium, tembaga, bijih besi dan timah menunjukkan
peningkatan pada Januari 2022 berbanding bulan sebelumnya.
Merujuk kepada Prospek Ekonomi Global Januari 2022 oleh
Kumpulan Bank Dunia, harga timah telah mencecah paras tertinggi dan disokong
oleh permintaan yang kukuh daripada sektor elektronik dan berlakunya gangguan
ke atas bekalan bahan mentah.
Harga aluminium, bijih besi dan tembaga turut meningkat
ekoran keputusan negara China untuk menyekat pengeluaran bahan mentah bagi
mengurangkan pencemaran serta didorong oleh aktiviti yang perlahan di China.
Selepas berlakunya peningkatan yang melonjak pada 2021,
harga logam dijangka akan perlahan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Survei
Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula
dari 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2022. Sila layari www.dosm.gov.my untuk
maklumat lanjut.
-- BERNAMA