Komuniti Lun Bawang tetap bantah cadangan Hutan Dilindungi Ulu Trusan

KUCHING: Tanah hak adat Bumiputera (NCR) melibatkan 36 kampung akan terjejas sekiranya kerajaan Sarawak meneruskan cadangan menjadikan 118,163 hektar kawasan hutan di situ sebagai Hutan Dilindungi Ulu Trusan (UTPF).


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ba' Kelalan, Baru Bian berkata, berikutan perkara ini, komuniti Lun Bawang membantah cadangan kerajaan itu untuk mengisytiharkan kawasan hutan di Lawas sebagai UTPF.

"Perkara ini menjadi perhatian dan kebimbangan komuniti Lun Bawang apabila kerajaan meneliti kembali cadangan tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang terima, versi baharu cadangan itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 118,163 hektar berbanding 120,855 hektar dalam cadangan 2015 yang memberi kesan kepada kampung yang terletak di sepanjang projek jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)," katanya menerusi kenyataan semalam. 


Baru menjelaskan UTPF pertama kali dicadangkan pada 2015, namun selepas lebih 3,000 orang menandatangani petisyen yang dikemukakan kepada bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, pada masa itu, cadangan tersebut tidak diteruskan (dilaksanakan).

"Menariknya, apabila saya bercakap dengan beliau dulu mengenai perkara ini, beliau memberitahu bahawa beliau tidak tahu tentang cadangan itu," ujarnya.

Jelas beliau lagi, berdasarkan anggaran perkiraan pihaknya, bahagian paling jauh sempadan UTPF yang dicadangkan ini adalah 3.9 kilometer iaitu di Long Telingan sementara paling hampir kira-kira 1.2 kilometer di Long Lidung.

Ahli Parlimen Selangau memberitahu, pihaknya menganggarkan dua pertiga penduduk Lun Bawang akan kehilangan tanah NCR mereka termasuk 'Tana Bawang' atau 'Tana Kenen' iaitu 'Pemakai Menua' dan 'Amug' yakni 'Temuda' jika cadangan tersebut diteruskan.

Katanya, cadangan baharu itu belum lagi diwartakan sepertimana yang diperlukan di bawah Seksyen 8 Ordinan Hutan, seperti yang dilakukan pada tahun 2015.

Bagaimanapun, Baru memberitahu komuniti Lun Bawang telah mengadakan mesyuarat semalam dan memutuskan untuk menghantar petisyen kepada Ketua Menteri sekali lagi bagi membantah sekeras-kerasnya cadangan tersebut.
Next Post Previous Post