Ketua Menteri sebagai 'Premier' manakala 'Menteri Muda' kepada 'Timbalan Menteri'

KUCHING: Sarawak dijangka menjenamakan semula jawatan Ketua Menteri (KM) sebagai 'Premier' manakala 'Menteri Muda' kepada 'Timbalan Menteri' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Isnin ini.

Dalam persidangan DUN itu nanti dijangka menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda perlembagaan untuk menamakan jawatan tersebut.


Memetik laporan The Borneo Post hari ini, satu salinan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang dikongsikan kepada akhbar tersebut.

Katanya, RUU itu melibatkan pindaan Perkara 9(3) Perlembagaan antara lain menggantikan perkataan 'Ketua Menteri' dengan perkataan 'Premier'.

Turut dicadangkan, pindaan Perkara 44 Perlembagaan negeri, mengenai tafsiran 'Premier' merujuk atau bermakna ketua menteri yang dilantik di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan dan sebarang rujukan kepada ketua menteri dalam mana-mana undang-undang bertulis hendaklah selepas itu merujuk kepada 'Premier' .

Selain itu, RUU berkenaan juga mencadangkan pindaan ke atas Perkara 7A Perlembagaan Negeri bagi mengubah pelantikan 'Menteri Muda' kepada 'Timbalan Menteri'.

Jika diluluskan oleh DUN, 26 Menteri Muda ketika ini di Sarawak akan menjadi Timbalan Menteri.

Menurut RUU itu, ordinan apabila diluluskan, hendaklah berkuatkuasa pada tarikh ditetapkan oleh Yang di-Pertua Negeri menerusi pemberitahuan dalam warta.

RUU ini dijadual dibentangkan di DUN pada Selasa oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu akan dilakukan pada hari sama.

RUU itu antara lima RUU akan dibentangkan pada Persidangan Khas DUN yang bermula esok hingga Rabu.
Next Post Previous Post