Kes harian COVID-19 Sabah melepasi 2,000


KOTA KINABALU— Kes jangkitan COVID-19 di sini direkodkan melepasi 2,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan sebanyak 2,069 kes dilaporkan hari ini.


Jurucakap COVID-19 negeri itu, Datuk Masidi Manjun berkata, enam daerah mencatatkan peningkatan kes iaitu Kota Kinabalu sebanyak 395, Tuaran (192), Papar dan Penampang masing-masing (161), Lahad Datu (137) diikuti Tawau (113).

Manakala Sandakan mencatatkan penurunan kes sebanyak 55, Tongod tiada kes manakala Kalabakan jumlah kes tidak berubah.

“Sebanyak 99.37 peratus kes baharu melibatkan pesakit kategori 1 dan 2,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Menjawab soalan orang awam sama ada kategori 1 dan 2 akan dimasukkan ke hospital, Masidi memberitahu ia tidak perlu melainkan pesakit tersebut mengalami keadaan serius dan komplikasi masalah kesihatan lain.

Semalam, negeri itu mencatat sebanyak 1,285 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 252,930 kes.
Next Post Previous Post