Keluarga Nicole Marsia masih menunggu berita gembira


LIMBANG— Keluarga Nicole Marsia Mohamad Peri pelajar pintar dari Limbang masih menunggu maklumbalas daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung permohonan kad pengenalan.

Menurut ayahnya Muhamad Peri Lasong selepas disiarkan dalam Borneo Network Khamis lalu, pihaknya masih belum menerima ‘berita gembira’ mengenai permohonan anaknya untuk mendapatkan dokumen penting itu.

“Setakat ini kami belum menerima maklumbalas dan belum ada tindakan daripada mana-mana kementerian.”

“Kami berharap pihak berkenaan dapat mempermudahkan urusan dan mempercepatkan permohonan anak kami untuk mendapatkan kad pengenalan, lebih-lebih lagi dia hendak menyambung pengajian selepas Sijil Periksaan Malaysia (SPM) nanti,” katanya kepada Borneo Network hari ini.

Jelas Muhamad Peri urusan persekolahan anaknya yang sedang menduduki SPM pada masa ini adalah berdasarkan surat pengesahan yang dibuat mereka kepada pihak sekolah.

Beliau menambah kerajaan negeri perlu mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan yang dipohon anaknya sebagaimana yang dinyatakan baru-baru ini.

“Kami berharap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dapat membantu mempercepatkan urusan permohonan anak kami.

“Ini sejajar dengan penambahbaikan pemberian kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan proses kelulusan terutamanya membabitkan status kewarganegaraan dipercepatkan di bawah tempoh setahun,”katanya lagi.

Hanya Sarawak diberi kelulusan bagi menubuhkan Jawatankuasa Khas yang telah diaktifkan untuk menentukan kewarganegaraan seperti yang termaktub dalam perkara 15(A) untuk dilaksanakan memandangkan ia merupakan antara isu utama yang dihadapi segelintir masyarakat di Sarawak.

Muhamad Peri menjelaskan beliau dan isteri sudah berurusan dengan pihak KDN diPutrajaya dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kuching pada 2019.

Katanya lagi mereka juga menerima maklum balas daripada KDN di Putrajaya melalui surat yang dihantar pada September 2020 dan meminta untuk menukar surat beranak anak mereka dengan memasukkan nama ayahnya.

“Semua dokumen sudah dihantar seperti yang diminta. Namun kami belum menerima maklum balas,” katanya.

Jelasnya, anaknya itu akan berusia 18 tahun pada Ogos ini dan impian dan selepas umur tersebut sukar bagi rakyat Malaysia memohon kad pengenalan.
Next Post Previous Post