Kelindan maut tertimbus


SERIAN: Seorang kelindan lori maut selepas tertanam di bahagian bawah kepala lori yang terbalik dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Paon Rimu di sini, petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, lori yang dinaiki mangsa, Alexander Alon, 20 tahun dikatakan berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum terbabas ke tepi jalan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan mengerakkan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi.

Menurut laporan awal, pemandu dan dua penumpang kenderaan pacuan empat roda berjaya dikeluarkan terlebih dahulu dan telah dibawa ke hospital oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Sementara itu, pemandu lori sawit juga berjaya dikeluarkan dan dalam keadan selamat manakala kelindan lori terbabit dikhuatiri masih terperangkap di dalam lori tersebut.

Setibanya pasukan ke lokasi, pasukan Bomba dimaklumkan oleh pemandu lori bahawa dia telah bersama seorang kelindan ketika kejadian dan usaha untuk menghubungi telefon bimbit rakannya tidak berjaya.


"Keadaan lori yang penuh dengan muatan sawit telah terbalik menyukarkan pasukan Bomba mengenal pasti kedudukan mangsa. Malah, jentera jengkaut juga telah berada di lokasi bagi membantu menarik bahagian lori yang terbalik itu.

"Kedua-dua kenderaan berkenaan berada dalam keadaan terbalik dengan jarak 100 kaki antara satu sama lain di lokasi kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Akibat pelanggaran itu kata PGO, mangsa terperangkap di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah usaha memindahkan kedudukan lori berjaya dilakukan menggunakan jengkaut dan sebuah lagi lori.

Mangsa didapati tertanam di bawah bahagian kepala lori berkenaan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Komander Operasi, PBK II Julie Umar ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 malam.
Next Post Previous Post