Keldai dadah beraya di lokap
MIRI: Lelaki yang menghadapi pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 1,000 gram terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Meh di lokap selepas Mahkamah Majistret Miri membenarkan permohonan lanjutan reman sehingga 23 Februari.
Perintah lanjutan reman terhadap tertuduh Pui Yong Seng, 44, dikeluarkan oleh Majistret, Leona Dominic Mojiliu selepas membenarkan permohonan pegawai pendakwa, Masdi Umar.
Leona menetap 23 Februari ini, untuk sebutan lanjut kes, manakala tertuduh ditahan sementara menunggu sebutan kes, menurut Utusan Borneo.
Tertuduh yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Isnin (31 Januari) diwakili peguam bela, Rambir Singh Sangha.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 39B(2) akta yang sama.
Tiada pengakuan bersalah direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan kes, dia dituduh mengedar dadah jenis ketamin seberat 1,000 gram dan didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.17 pagi, 24 Januari lalu, di sebuah premis syarikat kurier di Permy Technology Park, di sini.
Menurut fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Miri, pada 24 Januari lalu, jam 11.17 pagi ketika menuntut sebuah bungkusan disyaki mengandungi dadah yang dikirim dari luar negara.
Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas bungkusan berkenaan telah membawa kepada penemuan satu bungkus plastik lutsinar yang mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis ketamin, yang dianggarkan seberat 1,000 gram.
Turut dijumpai adalah satu paket serbuk minuman jenama “Juice Master” di dalam beg sandang tertuduh, yang diuji dan dipercayai dadah jenis ketamin serta dianggarkan seberat 28 gram.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM51,400.00.