Kejar impian jadi guru meskipun berdepan masalah Internet lemah
Frank meredah bukit demi masa depannya untuk menjadi seorang guru bagi mengikuti temu duga tersebut di pondok yang dibina ayahnya. Gambar kredit Mario Sa |
SIBU— Berdepan dengan masalah kelajuan Internet yang lemah di kawasan kampungnya bukan menjadi penghalang untuk Frank Steward Panting Sa mengejar cita-citanya menjadi seorang guru suatu hari kelak.
Dalam usaha mengapai impiannya itu, Frank berusia 19 tahun dari Pakan itu sanggup mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk kelajuan Internet yang lebih baik bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara dalam talian.
Menerusi video Facebook yang kini tular selepas disiarkan abangnya, Mario Sa sejak Isnin lalu, Frank duduk di atas tikar bemban di pondok sementara yang dibina bapa mereka Sa Ujom.
Kata Mario, adiknya membawa tikar untuk duduk tetapi seluarnya basah semasa temu duga kerana hujan lebat pada masa itu.
"Kakinya digigit lintah tetapi dia tetap mahu mengikuti jejak orang lain yang telah mencapai kejayaan dalam hidup mereka," kata Mario dipetik menerusi laporan Utusan Borneo Online hari ini.
Jelasnya lagi, rumah panjang mereka, Rumah Suing di Teberu, Ulu Kemalih mempunyai kemudahan rangkaian Wi-Fi Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran).
Mario memberitahu, akan tetapi liputan Internet yang lemah tidak dapat menyokong keperluan data temu duga dalam talian yang mengambil masa yang lama untuk dihabiskan.
Tambahnya, ia boleh digunakan untuk aplikasi WhatsApp dan Facebook kerana aplikasi ini tidak menggunakan data yang banyak.
"Begitulah keadaan liputan rangkaian di kawasan luar bandar, kita terpaksa bersabar dan pada masa sama berharap pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah itu," ujarnya.
Manakala Frank ketika dihubungi berkata, temu duga selama kira-kira 45 minit itu adalah untuk Kaunseling, antara dua subjek yang dipohonnya untuk menyambung pengajian di UPSI.
Minggu sebelumnya, beliau turut menghadiri temu duga yang sama untuk Moral di tempat yang sama.
Katanya, temu duga berjalan lancar meskipun liputan Internet perlahan.
Sementera itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa hari ini mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) bagi menangani masalah kelajuan internet.
Beliau menerusi hantaran di Twitter memaklumkan perkara itu susulan berita tular mengenai seorang pemuda di Sarawak yang berdepan kesukaran menjalani temu duga dalam talian disebabkan masalah berkenaan.
“Saya amat bersimpati dengan apa yang beliau harus lalui, namun kagum dengan ketabahan beliau.”
“Rangkaian internet tersebut adalah di bawah seliaan SRBN,” menurut hantaran itu.
Media melaporkan Frank Steward Panting Sa, 19 dari Pakan, Sarawak terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.
Menurut laporan berita itu, kawasan tempat tinggal pemuda tersebut di penempatan rumah panjang Rumah Suing di Teberu, Ulu Kemalih dilengkapi Wifi Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran) namun ia tidak dapat memenuhi keperluan data untuk sesi temu duga itu.
-- BERNAMA