KDNK, FDI tinggi petanda ekonomi pulih - Tengku Zafrul


GEORGE TOWN—Momentum pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat yang dicatatkan pada 2021, menjuruskan ke arah tahun pemulihan ekonomi bagi Malaysia tahun ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan agak optimis bahawa situasi terburuk telahpun berakhir untuk Malaysia selepas ia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus untuk KDNK dan FDI bernilai RM50 bilion bagi tahun 2021 berbanding -5.6 peratus (KDNK) dan RM14.6 bilion FDI pada 2020.

"Pertumbuhan KDNK yang dicapai tahun lepas adalah selaras dengan jangkaan kita iaitu antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus, dan ini jelas menunjukkan pemulihan dalam momentum ekonomi," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata FDI bernilai RM50 bilion yang dicapai pada 2021, lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya, juga memberi isyarat bahawa pelabur asing masih yakin dengan prospek ekonomi Malaysia.

Pada 2020, FDI Malaysia mencatat aliran masuk bersih RM14.6 bilion, susut 54.8 peratus berbanding RM32.4 bilion pada 2019.

"Momentum ini dijangka berterusan, justeru kerajaan masih terus menjangkakan KDNK untuk berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini. Jika ada unjuran baharu, ia akan diumumkan pada bulan Mac.

"Satu-satunya kelemahan ialah gelombang Omicron COVID-19 tetapi ia tidak begitu membahayakan seperti varian delta," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga sedang mempertimbang untuk membentangkan peruntukan tambahan tahun ini apabila parlimen bersidang kembali.

“Kita masih tidak tahu saiz peruntukan itu lagi tetapi fokusnya adalah untuk memastikan ekonomi kita pulih dan dapat membantu golongan rentan seperti mangsa banjir dan peniaga.

"Perdana menteri sendiri telah mengumumkan bantuan tambahan kepada mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini serta untuk petani dan usahawan mikro dan kecil dan sederhana," katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Tengku Zafrul berkata pemulihan ekonomi turut dipacu oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama.

Beliau menambah pengekalan kelonggaran sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak seiring dengan permintaan domestik dan luar yang kukuh, dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Selain itu, katanya sentimen positif perniagaan dan pengguna yang berterusan diperkukuh melalui kadar vaksinasi yang tinggi iaitu hampir 80 peratus daripada keseluruhan populasi telah mendapat vaksinasi penuh.

“Kerajaan akan memantau rapi sebarang tekanan inflasi terutamanya ke atas barangan makanan, dan memastikan langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan rakyat terhadap kelangsungan hidup mereka,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post