Kanak-Kanak Lelaki Terperangkap Dalam Kereta Diselamatkan

SELAMAT: Pasukan bomba menyerahkan kanak-kanak lelaki terbabit kepada ibunya sejurus berjaya dikeluarkan dari kereta yang terkunci dari dalam di Taman Jason, hari ini.

BINTULU: Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap dalam kereta yang dipandu ibunya selama lima minit sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.
20 tengah hari.


"Sampai di kediaman mangsa di Taman Jason, pasukan bomb bertindak mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap dalam kereta jenis Perodua Wira milik ibunya di hadapan kediaman keluarga berkenaan," ujarnya.

Pasukan bomba katanya mengambil masa selama lima minit bagi membuka pintu bahagian pemandu kereta terbabit dengan menggunakan peralatan khas.

Sejurus berjaya dikeluarkan, kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun 8 bulan itu diserahkan kepada ibunya yang turut berada di situ.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa kejadian, ibunya dikatakan keluar dari kereta sebelum ianya terkunci dari dalam," tambah beliau.

Mujurlah insiden yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan buat kanak-kanak berkenaan.
Next Post Previous Post