Kaedah fail APK, trend baharu jenayah online



KUCHING: Polis Sarawak mengingatkan rakyat di negeri ini tidak memuat turun fail 'pakej aplikasi Android' atau 'android package kit' (APK) dari sumber yang tidak sah dan berisiko tinggi.

Peringatan ini disuarakan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata yang berkata, ia merupakan trend baharu jenayah penipuan dalam talian melalui kaedah fail APK.

"Jangan pasang (installed) aplikasi APK dari sumber yang tidak sah (untrusted source) dan berisiko tinggi.

"Keselamatan sistem pesanan ringkas (SMS) pada telefon pintar mestilah dijaga dengan rapi kerana ia akan menerima SMS OTP daripada pelbagai aplikasi milik anda.

"Maka, jangan muat turun dan pasang dengan aplikasi SMS dari pihak ketiga yang mencurigakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak memasukkan butiran perbankan pada mana-mana borang dalam talian yang mencurigakan.


Oleh itu, Mancha berharap orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaru sindiket jenayah penipuan dalam talian melalui kaedah fail APK ini seperti mana kenyataan media yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman pada 10 februari 2022 yang lalu.

"Sindiket telah dikenal pasti mengiklankan barangan melalui media sosial sebelum mangsa menghubungi suspek melalui Whatsapp dan diarahkan memuat turun fail APK pada android," ujarnya.

Katanya lagi, mangsa kemudian akan memasukkan maklumat nama, nombor kad pengenalan dan alamat email untuk pendaftaran mencipta akaun.

"Seterusnya mangsa membuat pembayaran melalui kad kredit atau perbankan dalam talian FPX sebelum memasukkan maklumat butiran kad kredit seperti nombor kad, CVV dan tarikh luput (pembayaran secara kad kredit) atau butiran nama pengguna dan kata kekunci.

"Apabila mangsa menekan butang hantar, paparan "page error" akan terpapar, proses login tidak berjaya kerana APK ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang tulen.

"Bagaimanapun, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak tidak menerima apa-apa laporan polis berhubung trend baharu jenayah penipuan dalam talian melalui kaedah fail android APK ini," dedahnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan di media sosial dan menyelidik dengan teliti sebelum berurusan lanjut.

"Selain itu, jangan mudah percaya dengan lampiran fail instalasi APK yang dihantar secara terus kepada telefon pintar anda oleh orang yang tidak dikenali.

"Hubungi Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial infoline di talian 013-211 1222 (whatsapp/sms) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian," ujarnya.
Next Post Previous Post