Juruteknik ditahan terima upah RM200 bawa rokok seludup
Gambar kredit PDRM |
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 3.30 petang, selepas polis menemukan 492 karton mengandungi 73,056 batang rokok di dalam kereta yang dipandunya ketika pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan tersebut.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, datang ke Melaka dengan menaiki kenderaan dipandu individu lain yang tidak dikenalinya, sebelum dia memandu sebuah kenderaan lain mengandungi rokok seludup keluar dari negeri itu.
"Modus operandi mereka adalah sebaik tiba di Melaka, lelaki tersebut akan diturunkan untuk mengambil kenderaan yang telah diparkir di kawasan terbuka dan kali ini dia diturunkan di Malim di sini, sebelum pemandu yang membawanya beredar.
“Suspek kemudian akan membawa kereta berisi muatan rokok seludup itu ke Kuala Lumpur dan arahan lokasi penghantaran hanya diperoleh selepas kereta yang dipandu berjaya melepasi Tol Sungai Besi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Christopher berkata suspek dibayar RM200 bagi satu perjalanan dan komunikasi antara dia dengan dalang utama rangkaian penyeludupan rokok tersebut dilakukan menerusi panggilan telefon yang menggunakan nombor didaftarkan di Singapura.
Katanya lelaki itu direman tiga hari bermula hari ini dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata turut dirampas kenderaan dipandu suspek yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiga telefon bimbit dianggarkan bernilai RM30,000.
-- BERNAMA