Jantina Sajat tetap lelaki di Malaysia

Jantina Sajat tetap lelaki di Malaysia

PUTRAJAYA—Jantina usahawan kosmetik yang dikenali sebagai Sajat di Malaysia adalah lelaki seperti yang tertera di kad pengenalannya iaitu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary. 

Beliau berkata Malaysia menentukan jantina setiap individu berdasarkan maklumat yang tertera di kad pengenalan masing-masing.

“Jantina dia (Sajat) adalah sebagaimana dalam IC (kad pengenalan) di negara kita dan itu yang kita guna pakai.

(Kad pengenalan) adalah dokumen yang sah di negara ini untuk menentukan jantina dia (Sajat) dan sama ada dia ingin pilih negara atau alam mana untuk tentukan jantina, perkara itu kita tidak campur,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Manual Komuniti Hijrah (Lesbian dan Gay) di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Sajat melalui perkongsian di Instagram miliknya memaklumkan yang beliau telah menukar jantinanya kepada wanita secara sah di Australia.

Sebelum ini, Sajat diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada Jun tahun lepas, polis turut menjejaki beliau bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan pengharaman buku “Gay is OK!  A Christian Perspective” semalam, Ahmad Marzuk berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mengemukakan rayuan ke peringkat lebih tinggi agar ia tidak menjadi perkara yang menggusarkan orang Islam.

“LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dan buku tersebut tidak sepatutnya menjadi satu agenda untuk dinormalisasikan di negara kita… ia tidak sesuai di Malaysia,” katanya.

Menurut laporan media, penerbit dan penulis “Gay is OK!  A Christian Perspective” berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu pada 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman penerbit buku itu Chong Ton Sin dan penulisnya Ngeo Boon Lin.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post