Jackery mahu lebih ramai anak Penan berjaya dalam pendidikan, ubah kehidupan
Jackery Basing Luhat mahu generasi Penan berjaya dalam pendidikan. Gambar kredit : FB Jack Bass |
KUCHING— “Hanya (melalui) pendidikan dapat mengubah kehidupan kita," luah
seorang graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berasal dari kalangan
kaum Penan.
Jackery Basing Luhat yang menamatkan pengajian dalam bidang
Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Sumber Manusia menyeru anak-anak muda
terutamanya dari kaum Penan bangkit berjaya dalam pendidikan.
"Saya baharu menerima sijil tamat Ijazah Sarjana Muda
dalam Pembangunan Sumber Manusia di UNIMAS.
"Jadi pesanan saya untuk semua kita bangsa Penan, hanya
pendidikan yang dapat mengubah kehidupan kita, jadi teruskan usaha dan saya
berdoa agar kita lebih banyak kejayaan dalam pendidikan," katanya menerusi
video di Facebooknya, Jack Bass.
Tegas Jackery, pendidikan tidak seharusnya disalah erti dan
tidak harus berfikir bahawa berpendidikan akan berkerjaya cemerlang atau
bergaji tinggi sahaja.
"Jangan menyalah-ertikan pendidikan dengan pencapaian.
Jangan berfikir bahawa berpendidikan akan berkerjaya cemerlang atau bergaji
tinggi sahaja.
"Tetapi tetapkan dalam minda bahawa, dengan adanya
pendidikan kita dapat membuka pola fikiran kita agar dapat menilai pelbagai
aspek dari pelbagai sudut.
"Kita dapat membuat pembelaan kepada orang orang
tertindas. Kita dapat mengelak dari dieksploitasi. Kita dapat menerokai apa
yang belum kita teroka," jelasnya.
Justeru, beliau berkata, pendidikan itu bernilai bukan terletak pada nilai harta dunia tetapi terletak pada nilai positif dan kualiti yang seseorang itu tanam dalam diri.