Ismail Sabri adakan lawatan rasmi 2 hari ke Brunei


BANDAR SERI BEGAWAN— Cadangan mewujudkan aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Brunei, adalah antara perkara yang dijadual dibincangkan pada lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei, mulai Isnin.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah berkata lawatan itu akan turut membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala serta meneroka kerjasama baharu pascaCOVID-19.

“Selain VTL, antara yang dijangka dibincangkan adalah kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pada lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ismail Sabri yang dijadual tiba di Bandar Seri Begawan 8.20 malam esok akan diberi upacara sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang mewakili kerajaan Brunei Darussalam.

Pada Selasa, Perdana Menteri dan delegasi dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, selain mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei. Perdana Menteri dan delegasi kemudian akan diraikan pada Majlis Santapan Rasmi.

Raja Reza berkata pada lawatan dua hari itu, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri majlis minum petang dan ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Brunei dan mengambil kira keadaan semasa COVID-19, majlis itu akan diadakan dengan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan yang dikuatkuasakan di negara itu.

Beliau berkata terdapat hampir 25,000 rakyat Malaysia yang menetap di Brunei termasuk penuntut dan golongan profesional.

Mengenai dagangan antara kedua negara, beliau berkata pada tahun lepas jumlah dagangan Malaysia dan Brunei adalah RM8.03 bilion, meningkat 70.4 peratus berbanding RM4.71 bilion pada tahun 2020.

“Malaysia merupakan rakan dagangan keempat terbesar bagi Brunei Darussalam,” katanya sambil memberitahu Malaysia yang lebih banyak mengeksport barangan ke Brunei, antaranya petroleum dan produk makanan.

Lawatan rasmi Ismail Sabri ke Brunei itu adalah yang pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ogos lepas dan ia melambangkan iltizam kerajaan untuk memperkukuhkan hubungan istimewa sedia ada antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menyatakan lawatan itu dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Brunei.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post