Ingatkan tin, rupa-rupanya bayi


MELAKA, 4 Feb (Bernama) -- Seorang bayi perempuan masih bernyawa dan bertali pusat ditemukan seorang wanita ketika mengutip tin pada kira-kira 7 pagi tadi berhampiran sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenfen Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata bayi yang cukup sifat serta masih mempunyai kesan darah itu dipercayai baharu dilahirkan dan ditemukan di dalam bakul pakaian berdekatan premis berkenaan.
"Wanita berusia 51 tahun itu, yang juga pekerja am, sedang mengutip tin di kawasan berhampiran dan telah terdengar suara tangisan bayi.

“Wanita itu kemudian menemukan bayi malang berkenaan di dalam bakul pakaian jenis kain berwarna krim dan beralaskan kain batik yang diletakkan di tepi tembok batu di hadapan restoran itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu kemudian terus ke klinik berdekatan untuk mendapatkan bantuan bagi menghubungi polis dan ambulans.

Raiz Mukhliz berkata bayi yang belum diketahui bangsa itu masih berada di Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala satu kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Katanya kes itu diklasifikasi di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
-- BERNAMA

Gambar hiasan ihsan Omar Lopez, Unsplash

Next Post Previous Post