Individu tidak divaksin berisiko tahap serius, kematian
Gambar arkib KKM |
KUALA LUMPUR—Kumpulan individu yang tidak
divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling
berisiko dijangkiti COVID-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan
kematian akibat jangkitan virus berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan
(KKM) mengenai kes COVID-19 kategori empat dan lima serta data
kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26
Jan hingga 22 Feb.
“Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan
umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes
COVID-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000
penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak
divaksin sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima
dos penggalak vaksin COVID-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik
tersebut.
“Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti COVID-19
yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian
dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak
divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos
penggalak,” katanya.
Beliau berkata vaksin dos penggalak dapat memberi
perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius COVID-19.
Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi
(ICU) COVID-19 di hospital Dr Noor Hisham berkata empat negeri menunjukkan
peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus,
diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54
peratus).
Merujuk kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, beliau
berkata 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan
kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus
merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.
Sebanyak 19,037 kes sembuh COVID-19 dicatatkan semalam
menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu
2,974,441 kes.
-- BERNAMA