Hilang kepala dan tangan dibaham buaya?


SRI AMAN: Mayat lelaki warganegara Myanmar dilaporkan hilang di Sungai Seterap, Lingga di sini, Isnin lalu ditemui hari ini dengan keadaan tidak sempurna dipercayai dibaham buaya.


Mayat Thein Wai Maung ditemukan kira-kira 5 kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh oleh orang kampung dan pasukan penyelamat sekitar jam 7.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya mengambil mayat berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak lengkap apabila kedua-dua tangan dan kepala mangsa hilang disyaki dibaham buaya.

"Bomba seterusnya mengambil mayat mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi Isnin lalu, mangsa dilaporkan terjatuh dari kapal Ketara 10 sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.

Kata PGO, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudian diaktifkan sebaik menerima maklumat itu pada hari kejadian namun operasi pencarian masih gagal menemui mangsa.


Tambah PGO, operasi SAR yang memasuki hari ketiga pagi tadi membabitkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dengan bantuan 17 anggota pelbagai agensi berjaya menemui jasad mangsa.

Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.10 pagi.





Next Post Previous Post