Hibrid atau secara dalam talian tertakluk kepada keputusan universiti
PUTRAJAYA,— Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institut pengajian tinggi (IPT) secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan, tertakluk kepada keputusan pihak universiti itu sendiri, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
KPT dalam kenyataan hari ini berkata IPT juga perlu
mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal
dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PdP yang ketat.
Ia susulan pengumuman kerajaan semalam yang
membenarkan kemasukan pelajar IPT di bawah KPT ke kampus secara
berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga
100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.
“Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT
dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada
para pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran
dan kehidupan dalam kampus,” kata KPT.
KPT turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan
kesihatan pelajar menjadi keutamaannya dalam proses kemasukan dan
keberadaan pelajar di kampus, serta akan memastikan kemasukan pelajar ke
kampus berjalan lancar.
Pelajar yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan
penjarakan fizikal dan kebersihan diri, manakala aktiviti sukan dan riadah
perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM),
katanya.
Antara SOP ditetapkan KPT dan KKM adalah pelajar
dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus,
namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian
saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan berkeputusan
negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.
Untuk maklumat lanjut, pelajar dan ibu bapa boleh
menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628,
melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing.
-- BERNAMA