Harga simen dinaikkan berkuat kuasa 17 Februari ini

Harga jualan simen naik berkuat kuasa 17 Februari ini.

KUCHING— CMS Cement Industries Sdn Bhd (CMSCI) hari ini mengumumkan harga simen akan diselaraskan dengan purata 10 peratus berkuat kuasa 17 Februari tahun ini.

CMSCI dalam kenyataan memberitahu, harga purata itu bagaimanapun tertakluk kepada jenis produk dan lokasi.

“Pelarasan harga ini disebabkan peningkatan kos bahan mentah, pembungkusan serta caj pengangkutan yang ketara dan berterusan.”

“Sepanjang tahun ini, kos pengeluaran simen telah meningkat sebanyak purata sembilan peratus dan memandangkan persekitaran makro semasa, CMSCI menjangka kos pengeluarannya akan berterusan pada aliran menaik.”

“CMSCI terpaksa menaikkan harga simen selepas menyerap kenaikan kos sejak enam tahun lepas kerana terdapat kenaikan mendadak dalam kadar pengangkutan pukal kering global.”

"Indeks Kering Baltik penanda aras menunjukkan kadar telah meningkat sebanyak 64 peratus tahun lepas manakala indeks kertas kraft guni telah meningkat sebanyak 33 peratus dalam tempoh yang sama, yang seterusnya telah meningkatkan kos pembungkusan untuk industri simen," katanya.

CMSCI yang merupakan anak syarikat milik Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) menambah, kali terakhir pelarasan harga ialah pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, purata harga seunit simen di Sarawak kekal berdaya saing berbanding wilayah lain di Malaysia, terutamanya sekarang kerana harga simen di Sabah dan Semenanjung meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Pada masa yang sama, harga bahan binaan lain seperti keluli juga telah melonjak secara menyeluruh sejak Januari 2021.

“Indeks Kos Bahan Binaan (BCI) telah meningkat sebanyak 2.3 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala BCI menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 2.1 peratus dan 1.5 peratus di Sabah dan Sarawak dalam tempoh ini.”

“Sejak 2016, CMSCI telah mengekalkan harga jualan simen dan menyerap sebarang kenaikan kos pengeluaran berikutan komitmennya dalam menyokong pembangunan dan pertumbuhan infrastruktur Sarawak.”

“Bagaimanapun, kenaikan kos baru-baru ini menyebabkan kenaikan harga simen tidak dapat dielakkan untuk mengekalkan kualiti produk dan perkhidmatannya.
CMSCI berkata ia berhasrat untuk mengekalkan peranan tertumpu pelanggan dan fokus pembekal sebagai pembekal terkemuka bagi simen berkualiti di Sarawak sambil mengekalkan kecemerlangan dalam operasi.”

Sementara itu CMSCI merancang untuk mengembangkan lagi rangkaian produk simen mesra alam di pasaran.

Sebagai tambahan kepada Simen Batu Kapur Portland (PLC 32.5N) yang dilancarkan pada 2019, CMSCI akan melancarkan Simen Komposit Portland (PCC 42.5N) pada separuh kedua 2022.

PCC 42.5N dikategorikan sebagai simen campuran dan mempunyai kelas kekuatan yang sama seperti Simen Portland 42.5N.

Melalui penawaran produk ini, CMSCI mampu menyediakan pelanggan dengan pelbagai jenis produk simen untuk memenuhi pelbagai keperluan projek mereka pada titik harga yang berbeza.

“CMS kekal komited untuk menyokong rancangan pembangunan Sarawak termasuk visi untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.”

“Sebagai salah satu pelabur utama sektor swasta tempatan dan pembekal utama bahan binaan dan perkhidmatan di negeri ini, kami meyakinkan semua pihak berkepentingan bahawa pelarasan harga dilaksanakan selepas pertimbangan yang teliti,” kata kenyataan itu.

Next Post Previous Post