Hamzah lawat tiga kampung di DUN Stakan


KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim gembira dapat merealisasikan permintaan penduduk di tiga kampung di bawah DUN Stakan.

Beliau menerusi Facebook rasminya berkata, tiga kampung terbabit adalah Kampung Merdang Lumut, Kampung Sungai Empit dan Kampung Bukit Berangan.

"Saya berbesar hati kerana dapat merealisasikan permintaan penduduk kampung terbabit untuk mendapatkan sistem perparitan yang baik untuk keselesaan dan keselamatan mereka.

"Saya berdoa agar segala urusan dan perlaksanaan projek-projek ini dipermudahkan dengan izin Allah SWT," katanya.


Beliau terdahulu melawat Kampung Merdang Lumut untuk penyerahan dan lawatan projek menaik taraf sistem perparitan di kampung tersebut.

"Sejurus tamatnya aktiviti di Kampung Merdang Lumut, saya bergegas pula untuk ke Kampung Sungai Empit.

"Lawatan di sini pula adalah merupakan projek pembersihan parit kampung sedia ada," jelasnya. 


Tambah Hamzah, lokasi ketiga adalah ke Kampung Bukit Berangan bagi meninjau projek menaik taraf sistem perparitan kampung.

"Di sini saya disambut ramah oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Malihah.

"Turut hadir bersama saya pada program ini adalah Cr. Daily Joseph, Ketua Kaum Edwin Takim (Kampung Merdang Lumut), Ketua Kaum Danial Bas (Kampung Sungai Empit), Pengerusi Parti Rabin Anthony (Kampung Merdang Lumut) dan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari tiga kampung berkenaan serta pihak kontraktor yang terlibat.
Next Post Previous Post