Festival Filem Jepun Online 2022 bermula 14 Feb


KUALA LUMPUR— Festival Filem Jepun (JFF) Online 2022 kembali lagi dengan membawakan 20 filem Jepun menarik terus ke skrin pencinta filem di Malaysia. 


Filem-filem itu bakal disiarkan dalam talian secara percuma dari 14 hingga 28 Feb, menampilkan pelbagai genre - termasuk klasik, drama, thriller, dokumentari dan animasi, kata Yayasan Jepun di Kuala Lumpur (JFKL) dalam satu kenyataan. 

Semua filem berkenaan mengandungi sari kata dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. 

Penonton juga boleh menikmati filem baharu yang dikeluarkan pada 2021 seperti – “Under the Open Sky”, sebuah drama bekas yakuza, “Ito” mengisahkan tentang gadis desa yang pemalu, “Aristocrat ” menggambarkan kehidupan dua wanita dari kelas sosial yang berbeza dan “AWAKE”, sebuah kisah tentang kebangkitan kecerdasan buatan (AI) dalam permainan shogi iaitu sejenis permainan tradisional seperti catur di Jepun.

Dua anime - diadaptasi dari karya agung Akira Kurosawa "Rashomon", dua dokumentari tentang ahli gusti sumo dan seorang chef Ramen legenda, serta koleksi filem kegemaran dari Festival Filem Jepun yang lalu, juga boleh ditonton selama 14 hari secara percuma.

JFF 2022 di Malaysia turut menampilkan Sharifah Amani dan Sherry Alhadad sebagai duta bagi festival dalam talian itu.

Kenyataan itu menambah bahawa satu siri “Kuiz Nihongo” untuk pengguna dan pelajar bahasa Jepun juga akan diadakan sepanjang tempoh festival berlangsung, serta hadiah menarik menanti pemenang.

Pencinta filem hanya perlu melawat laman sesawang JFF online 2022 di laman web JFKL, serta daftar akaun untuk menikmati festival filem itu. 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pendaftaran, senarai tajuk, sinopsis, jadual dan acara, boleh layari https://www.jfkl.org.my/events/jff-online-2022/. 
  
-- BERNAMA 
Next Post Previous Post