Fasa Satu Pan Borneo Sarawak dijangka siap tahun ini - Fadillah

Gambar kredit FB Fadillah Yusof

BINTULU—Kerajaan optimis mampu menyiapkan dan membuka keseluruhan Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada hujung tahun ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sasaran itu mampu dicapai walaupun projek tersebut berdepan pelbagai cabaran sebelum ini termasuk ketika wabak pandemik COVID-19.


“Kita sasarkan dalam hujung tahun ini semua Fasa Satu Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Miri akan dapat dibuka secara keseluruhannya.

“Walaupun (sebelum ini) kita hadapi cabaran seperti kekurangan tenaga kerja dan bekalan bahan mentah kita masih beri komitmen untuk menyiapkan Fasa Satu pada penghujung tahun ini,” katanya ketika berucap di majlis pembukaan persimpangan bertingkat Nyabau di sini, hari ini.


Persimpangan bertingkat Nyabau sepanjang 1.2 kilometer itu merupakan persimpangan bertingkat terpanjang dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Fasa Satu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer bermula dari Telok Melano ke Miri dimulakan pada Oktober 2015.


Sementara itu, Fadillah berkata kejayaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak menjadi bukti hubungan serta kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak yang harus diteruskan demi kepentingan penduduk negeri itu.

“(Setakat ini untuk) Pan Borneo Sarawak, kita dah berjaya buka banyak jajaran termasuk di Telok Melano, jajaran Serian ke Balai Ringin, serta sebahagian jajaran di Julau, Insya-Allah banyak lagi yang kita sasarkan (dibuka),” tambahnya.

-- BERNAMA

Next Post Previous Post