DUN Sarawak lulus penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom Kredit gambar Jiwa Bakti

KUCHING— Sarawak mengambil langkah mengawal selia industri sagu dan nipahnya apabila Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (SNDB), 2022 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negerinya hari ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata apabila ditubuhkan kelak, lembaga itu akan membantu kerajaan negeri dalam merancang untuk daya maju dan kemampanan industri itu di negeri ini pada masa hadapan.

“Pelaksanaan semua inisiatif dan program pembangunan kerajaan akan lebih fokus, berkesan dan cekap,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah 2022 di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Menurutnya, Sarawak adalah antara pengeksport terbesar tepung sagu di dunia dengan 37,884 tan metrik bernilai RM78.29 juta pada 2020, manakala gula apong bernilai RM1.93 juta, antara produk nipah, dieksport tahun lepas dengan RM3.38 juta lagi diperoleh daripada jualan tempatan.

“Satu aspek penting dalam perundangan ini adalah peranan utama SNDB, sebagai pengelola industri, untuk membantu kerajaan dalam perancangannya bagi memastikan daya maju dan kemampanan industri sagu dan nipah di negeri ini pada masa hadapan,” katanya.
 
Dr Rundi berkata kepentingan semua masyarakat di Sarawak akan diambil kira dalam proses penggubalan SNDB untuk mendapat manfaat daripada penubuhannya dan menyelaraskan objektifnya dengan langkah negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau berkata SNDB boleh meringankan beban pihak berkuasa pertanian lain yang juga perlu meneliti pembangunan tanaman lain dan memandangkan perladangan yang dikomersialkan diperlukan untuk meningkatkan industri, penglibatan sektor swasta tidak dapat dielakkan.

Mengenai isu tanah hak adat anak negeri (NCR) yang boleh digunakan lembaga itu untuk pembangunan komoditi yang dibangkitkan Baru Bian (PSB-Ba'kelalan) semasa perbahasan, Dr Rundi berkata kerajaan negeri akan terus melibatkan pemilik tanah seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Ini (tanah NCR) menjadi masalah yang kita hadapi ketika hendak membangunkan ladang kelapa sawit dan sebagainya, tetapi untuk ini (ladang sagu dan nipah) kita mengambil pendekatan berbeza kerana melibatkan kawasan berbeza, kebanyakannya kawasan pesisir pantai,” tambahnya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post