Dua wanita Indonesia mati dibunuh, seorang parah


DARO: Dua wanita warganegara Indonesia yang dijumpai mati terapung di Sungai Samong di sini disahkan dibunuh sebelum dicampak ke sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Neil Beginda yang mengesahkan kes itu berkata, seorang suspek lelaki berbangsa Bajau berusia 31 tahun telah ditangkap pada Sabtu lalu (12 Februari 2022) sekitar jam 3.30 petang di tepi Jalan Sentral, Daro. 


"Suspek kini ditahan reman sehingga 20 Februari 2022 untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Neil menjelaskan, kejadian tersebut berlaku pada 12 Februari bertempat di RC Dermaga Sungai Samong, Daro.


"Kes ini melibatkan tiga mangsa wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan umur 41 hingga 47 tahun.

"Mangsa dipukul dan dibunuh di lokasi berasingan dan kemudian dicampak ke dalam sungai di tempat kejadian," dedahnya.

Tambahnya, dua wanita malang terbabit dijumpai mati, terapung di Sungai Samong pada 12 Februari dan 14 Februari 2022.

"Manakala seorang daripada mangsa terselamat dan dalam keadaan stabil," ujarnya.

Kes masih dalam siasatan.

Next Post Previous Post