Dr Sim minta rakyat Sarawak waspada lonjakan Omicron
KUCHING: Sarawak mungkin berdepan dengan 'letusan' penularan varian Omicron COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan meminta rakyat Sarawak untuk kekal berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan penularan wabak berkenaan.
Pada masa sama beliau mengingatkan untuk rakyat Sarawak kekal berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negeri ini.
"Omicron mungkin tidak begitu kuat (tidak mendatangkan gejala yang teruk) namun ia tetap berisiko kepada warga emas, mereka yang berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai tahap imunisasi rendah.
"Marilah kita bersama-sama sentiasa mengambil langkah pencegahan dan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan varian Omicron COVID-19," katanya dipetik menerusi The Borneo Post Online hari ini.
Dr Sim memberitahu, dengan jumlah kes positif baharu harian Malaysia yang merekodkan 7,234 kes pada Jumaat, ia belum membimbangkan kerana masih ramai yang dikesan mempunyai gejala ringan.
Tambahnya, malahan ramai yang dijangkiti tidak mengetahui mereka telah dijangkiti wabak ini.
Beliau mendedahkan terdapat juga individu lain tidak melaporkan keputusan ujian kendiri dan Kementerian Kesihatan juga tidak lagi melakukan pengesanan kontak.
Pada masa sama beliau berkata, varian Omicron lebih mudah berjangkit daripada Delta dan mungkin secara tidak sedar menularkan dalam kalangan masyarakat yang terdedah di rumah, tempat kerja dan kawasan awam.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat Sarawak terus berjaga-jaga dan mempersiapkan diri menghadapi lonjakan Omicron COVID-19 di negeri ini.
"Selepas dua tahun semua orang perlu hidup dengan virus ini. Dengan pengetahuan baharu yang muncul setiap hari mengenai COVID-19, setiap orang perlu hidup dengan virus itu dengan selamat mungkin termasuk mematuhi SOP, memakai pelitup muka,vaksinasi dan TRISS (Ujian, Lapor, Kuarantin atau Pengasingan Kendiri, Maklumkan dan Mendapatkan Rawatan Segera).
"Bersama-samalah kita mengatasi COVID-19 di Sarawak," ujarnya.