DAP bimbang terma 'Premier' Sarawak rendahkan kedudukan KM Pulau Pinang


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian percaya bahawa DAP Sarawak menentang penamaan semula jawatan Ketua Menteri (KM) kepada ‘Premier’ kerana ia akan memberi kesan negatif kepada ketua menteri parti itu sendiri di Pulau Pinang.

“Saya rasa DAP sangat bimbang kerana jika KM Sarawak bertukar gelaran (ke) menjadi Premier, mereka bimbang DAP Pulau Pinang tidak boleh menukar gelaran kepada Premier menjadikan mereka berada di kelas kedua.

"Dan itulah sebabnya mereka menentangnya dengan keras dan menggunakan pelbagai alasan," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post Online hari ini.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berkata demikian pada sidang media selepas sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Tambah Dr Sim, DAP juga bimbang terma 'Premier' itu tidak dapat diguna pakai di negeri-negeri lain terutamanya di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebenarnya mencerminkan kebimbangan DAP khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang yang gusar sebab tidak mampu berbuat demikian.

Tambahnya, disebabkan itu DAP berkeras membantah dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyokong penggunaan 'Premier'.

Dr Sim menjelaskan, ketika ini status Ketua Menteri di seluruh Malaysia berada di kelas kedua berbanding 'Premier' yang akan berada di kelas pertama.

Beliau memberitahu, ini adalah langkah permulaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperjuangkan hak-hak keistimewaan dan autonomi Bumi Kenyalang ini.

Sementara itu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 berhubung perkara itu telah diluluskan pada persidangan DUN dengan majoriti dua pertiga, hari ini.

RUU yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, diluluskan selepas bacaan ketiga.

Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, RUU berkenaan yang dibahaskan oleh 16 ADUN sebelum diluluskan, telah mendapat undi 67 menyokong, sementara enam lagi membantah.

Abdul Karim berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan semangat yang asalnya difikirkan oleh pihak-pihak kepada Perjanjian Malaysia, 1963 (MA63) dan iaitu apabila Sarawak bersetuju menjadi parti dalam pembentukan Malaysia, adalah bertujuan supaya Sarawak mengekalkan statusnya sebagai satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia yang baharu.

Menurutnya, ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri-negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Selain itu, turut dipinda di bawah RUU berkenaan adalah Perkara 7A bagi menggantikan jawatan Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.
Next Post Previous Post