COVID-19 Tunjuk Pemulihan, PKRC UNIMAS Ditutup
KOTA SAMARAHAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kolej Raflessia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ditutup setelah beroperasi bermula 2 Jun tahun lalu berikutan situasi pandemik COVID-19 yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kesemua warga kerja dan petugas yang terlibat dalam pengoperasian PKRC UNIMAS sejak bulan Jun yang lalu.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas khasnya kepada penasihat PKRC iaitu Dr. Mohd Asri Riffin dan pasukannya sepanjang berkhidmat di PKRC UNIMAS.
“Setelah 8 bulan pengoperasiannya, akhirnya PKRC di UNIMAS ditutup dan ini disebabkan oleh situasi Pandemik COVID-19 yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah kita berhadapan dengannya sejak Mac 2020 yang lalu” katanya dalam hantaran di facebooknya.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UNIMAS dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan yang memberikan kerjasama penuh dalam penubuhan PKRC UNIMAS serta turut menyumbang tenaga dalam usaha untuk mengawal penularan wabak Covid-19 khasnya di Kota Samarahan.
PKRC UNIMAS yang terletak di Kolej Rafflesia ini telah merawat sekurang-kurangnya 10,000 pesakit sepanjang tempoh pengoperasiannya dan mampu menempatkan sehingga 608 pesakit Covid-19 dalam satu-satu masa serta berfokus kepada pesakit-pesakit di sekitar Bahagian Samarahan dan daerah-daerah lain termasuklah Padawan dan Siburan.