COVID-19: SOP semasa Masjidil Haram, Masjid Nabawi
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menjangkakan pertambahan ketara jumlah pengunjung di kedua-dua Masjid Suci umat Islam itu sempena kedatangan bulan Rejab (pada Khamis).
Kehadiran bilangan tinggi pengunjung di Dua Masjid Suci itu dijangka berterusan sehingga akhir Ramadan akan datang.
Oleh itu, jabatan itu mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi posedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan.
Menerusi infografik yang dikongsi di laman Twitter rasminya, jabatan itu menyenaraikan SOP semasa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi setakat 3 Februari 2022, termasuklah wajib memiliki status ‘imun’ pada aplikasi Tawakkalna dan permit sah untuk memasuki Dua Masjid Suci itu.
Kedua, hanya individu berusia 12 tahun ke atas dibenarkan mengunjungi Dua Masjid Suci berkenaan.
“Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dari Arab Saudi dan seluruh dunia, sama ada imun atau tidak, pada masa ini tidak dibenarkan memasuki Dua Masjid Suci atau halamannya,” kata jabatan itu.
Ketiga, hanya sekali umrah setiap 10 hari dibenarkan. Ini berikutan penerapan semula langkah berjaga-jaga oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, untuk mengehadkan kapasiti dan memastikan tiada kesesakan terutama ketika melakukan ziarah Raudhah dan Makam Rasulullah.
Keempat, wajib memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
Kelima, pengunjung perlu mematuhi masa yang diperuntukkan dalam permit masing-masing.
“Keperluan untuk tiba dan meninggalkan Dua Masjid Suci mengikut masa yang ditetapkan dalam permit adalah sangat penting. Dua Masjid Suci ditutup sejam selepas solat Isyak dan dibuka semula sejam sebelum solat Subuh,” menurutnya.
Keenam, ruangan Mataaf adalah terhad kepada jemaah umrah sahaja.
“Pada masa ini kemasukan ke Mataaf hanya dibenarkan untuk jemaah umrah yang membawa Permit Umrah yang sah dan untuk tujuan tawaf sahaja,” tambah jabatan itu.
Ketujuh, larangan menyentuh Kaabah, Hajar Aswad dan Solat dalam Hateem.
“Pada masa ini, terdapat sekatan untuk menyentuh Kaabah, Hajar Aswad dan solat di dalam Hateem sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan COVID-19”, katanya.
Setakat 12 tengahari ini, Arab Saudi merekodkan 3,555 kes positif baharu dengan tiga kematian, dengan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 8,950 kes, di negara yang mencatatkan 702,624 kes jangkitan setakat ini.
-- BERNAMA
#Borneonetwork
#ArabSaudi
#Umrah