Citrawarna: Kembali selepas 4 tahun
Sekitar Pelancaran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi. Gambar kredit Sarawakku |
KUCHING-- Pelancaran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi, menandakan kemunculan semula acara pelancongan itu selepas kali terakhir diadakan pada 2017.
Majlis yang berlangsung di Tebingan Kuching di sini, menampilkan persembahan penuh warna-warni dengan tema kesenian serta kebudayaan, yang diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak.
Selain itu, acara yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat itu, turut menyaksikan persembahan bunga api juga perarakan perahu tambang.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 selama empat hari bermula 24 Feb, bertujuan mendekatkan masyarakat umum khususnya yang berada di Sarawak dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia.
Selain itu, program tersebut bertujuan mempromosi Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di bawah kategori gastronomi - World Craft City.
Antara aktiviti program ialah Festival Gendang Sarawak, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Konsert Sape dan Persembahan Bunga Api dan Muzikal Water Fountain.
Kali terakhir Citrawarna diadakan adalah pada 2017 di Dataran Merdeka dengan tema alam semula jadi dan ekopelancongan.
-- BERNAMA