Citrawarna jadi penanda aras acara lain - Nancy
Citrawarna jadi penanda aras acara lain - Nancy |
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata dengan SOP yang terperinci, keselamatan semua pihak dapat dijaga walaupun melibatkan acara besar.
“Untuk program Citrawarna kita telah memperkenalkan SOP yang begitu ketat sekali untuk pengunjung dan pempamer.
“(Kejayaan ini boleh kita) gunakan sebagai penanda aras dari segi SOP untuk menganjurkan aktivitI besar seperti ini,” katanya pada sidang media sempena hari terakhir Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di sini hari ini.
Karnival empat hari, yang bermula Khamis lepas bertema ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ itu, diadakan kembali dan Kuching menjadi lokasi pertama selepas hampir empat tahun tidak berlangsung.
Karnival itu menyediakan pesta yang penuh warna-warni dengan pelbagai program serta aktiviti pelancongan selain persembahan seni dan budaya Malaysia.
Sementara itu, Nancy berkata masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama COVID-19 dengan SOP tertentu dan tidak lagi berasa takut.
“Jika kita tidak anjur (Citrawarna) hari ini dan mungkin (tangguh) pada hujung tahun nanti ‘kebimbangan’ itu akan masih wujud.
“Sebab itu kita kena berani dan perlu belajar mengurus (anjur acara semasa COVID-19) kita sudah diberi dua tahun untuk belajar dari segi hidup dalam norma baharu,” katanya.
-- BERNAMA