Chong cadang generasi ketiga bukan Bumiputera lahir di Sarawak dianggap Peribumi

Chong (kanan) bersama ADUN Pending Violet Yong bercakap pada sidang media di DUN hari ini. - Gambar Utusan Borneo Online

KUCHING: Generasi ketiga bukan Bumiputera yang lahir di Sarawak termasuk Cina dan India harus dianggap sebagai Peribumi. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Chong Cheing Jen menerusi laporan Utusan Borneo Online dipetik berkata, beliau akan mencadangkan perkara ini semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran (Pindaan), 2020, esok. 

RUU berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok. 

“Cadangan pindaan saya adalah untuk generasi ketiga daripada kalangan kaum Cina, India atau kaum lain di Sarawak harus dianggap sebagai Bumiputera Sarawak selari dengan prinsip inklusiviti. 

“Mereka yang telah mencapai generasi ketiga adalah sama seperti Bumiputera lain dan sebab itu mereka tidak sepatutnya didiskliminasi dan dibezakan dengan yang lain,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, terdapat senarai 31 kaum yang dicadangkan untuk dianggap sebagai Bumiputera Sarawak dalam Ordinan Tafsiran dalam cadangan pindaan RUU yang akan dibentangkan esok.

Jelasnya, mereka terdiri daripada Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Bidayuh atau Land Dayak (termasuk Salako, Rara, Jagoi, Singai, Biatah dan Bukar-Sadong), Bisaya, Buket atau Ukit, Dali, Dusun, Iban atau Sea Dayak, Jatti Miriek, Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Kayan, Kedayan dan Kelabit.

Selain itu, turut disenaraikan Kenyah (termasuk Badeng, Sebop dan Seping), Lakiput, Lisum, Logat, Melayu, Melanau, Murut atau Lun Bawang, Narom, Penan, Sa’ban, Sihan, Tabun, Tagal, Tatau, Tring dan Vaie. 

Beliau mencadangkan Fasal 2 RUU tersebut dipinda dengan memasukkan selepas perkataan ‘Vaie’ dalam garis baharu perkataan Cina, India atau kaum lain yang tidak disenarai dan individu daripada mana-mana kaum yang lahir di Sarawak dengan ibu bapa juga lahir di negeri ini. 
Next Post Previous Post