Celcom, Maxis, Digi terima tawaran spektrum MCMC

KUALA LUMPUR— Celcom Axiata, Maxis dan Digi Telecommunications telah menerima tawaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk penguntukan spektrum.


Tempoh berkuat kuasa untuk penguntukan spektrum itu bermula 1 Julai untuk tempoh lima tahun dengan fi sekali sahaja sebanyak RM11.76 juta perlu dibayar sebelum 12 tengah hari, 14 Februari dan komponen fi tahunan ditetapkan sebanyak RM20.76 juta perlu dibayar sebelum 15 Disember setiap tahun sepanjang tempoh sah penguntukan spektrum tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata Group Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya, Celcom Axiata Bhd, telah menerima tawaran untuk penguntukan spektrum dalam 2530MHz hingga 2540MHz digandingkan dengan jalur frekuensi 2650MHz hingga 2660MHz.

Dalam makluman berasingan, Digi.com Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya, Digi Telecommunications Sdn Bhd, telah menerima tawaran daripada MCMC, membenarkan Digi Telecommunications kepada pengeluaran penguntukan spektrum 2600MHz pada jalur 2x10MHz.

Sementara itu, dalam makluman lain, Maxis Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya yang berkaitan turut menerima tawaran untuk penguntukan spektrum sebanyak 2x10MHz daripada 2600MHz.

Axiata dan Digi.com berkata Celcom Axiata dan Digi Telecommunications telah membayar kepada MCMC fi komponen harga sekali sahaja sebanyak RM11.76 juta secara sekali gus.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post