Cari lokasi memancing terjumpa mayat

Polis bersama pasukan perubatan Hospital Umum Sarawak tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.

PADAWAN: Hajat sekumpulan remaja yang mahu memancing terbantut apabila dikejutkan dengan penemuan mayat seorang warga emas di kawasan tangki air Batu Kawa di sini malam semalam.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengesahkan penemuan itu berkata, identiti mayat tersebut telah dikenal pasti iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun berasal dari Kuching.

"Mayat mangsa dijumpai oleh sekumpulan remaja yang sedang mencari tempat memancing di tepi Sungai Maong Kanan kira-kira jam 7 malam.

"Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai barangan lain yang mencurigakan serta tiada unsur jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, hasil siasatan pada tubuh badan mangsa dianggarkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh kurang 48 jam.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

Abang Zainal memberitahu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Next Post Previous Post