Buruh maut, tercampak ke tengah jalan selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan


KUCHING: Seorang buruh lelaki maut dalam nahas kemalangan jalan raya yang berlaku di Batu 21 Jalan Kuching Serian awal pagi tadi.

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Amelthan Simon berusia 21 Tahun berasal dari Kampung Daha Seroban, Tebakang.

                  

Jelasnya, kemalangan berlaku pada jam 7.00 pagi melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa yang mana kawasan kemalangan merupakan jalan sehala dua lorong serta mempunyai garisan putih putus-putus sebagai pembahagi lorong dari arah Serian menghala ke Kuching.



"Disyaki kejadian ini terjadi semasa mangsa yang menunggang motosikal seorang diri di lorong kanan sedang bergerak lurus dari arah Serian menghala ke Kuching.

 

"Semasa sedang bergerak lurus di Batu 21 Jalan Kuching Serian, motosikal yang ditunggangnya tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar penghadang tengah jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, akibat daripada kejadian tersebut, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan penghadang tengah jalan sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan dan motosikalnya terjatuh di bahu tengah jalan.



Menurut Alexson lagi, penunggang terbabit disahkan maut ditempat kejadian oleh paramedik Hospital Serian.

 

"Selepas kejadian mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serian Sarawak untuk tindakan lanjut," ujarnya.

 

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post