Buka sempadan dapat manfaatkan pelancongan - Abdul Karim



KUCHING—Industri pelancongan perubatan Sarawak dijangka menerima manfaat daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa yang disyorkan menjelang bulan depan kerana ia diharap dapat menjana semula pendapatan yang diperoleh industri itu sebelum pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) melaporkan bahawa pelancongan perubatan telah menyumbang sebanyak RM1.7 bilion pada 2019.

 

“Aliran pendapatan yang memberangsangkan daripada sektor ini telah menggalakkan penubuhan hospital dan institusi perubatan swasta di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka semula sempadan antarabangsa seawal 1 Mac seperti yang diumumkan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

 

Abdul Karim berkata Sarawak juga tidak terkecuali dan kehilangan berbilion ringgit daripada aliran pendapatan bagi sektor pelancongan dan industri hospitaliti yang sejak beberapa tahun lepas telah banyak menyumbang kepada ekonomi tempatan dan pendapatan mereka yang bekerja dalam industri hiliran.

 

Abdul Karim berkata cadangan pembukaan semula sempadan antarabangsa tanpa keperluan kuarantin wajib itu boleh mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meningkatkan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS2030).

 

Beliau berkata bagi memudahkan pembukaan semula sempadan negara, pelawat perlu dimaklumkan tentang keperluan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum permohonan kemasukan mereka diterima.

 

“Perlu ada usaha bersepadu oleh pemain industri terlibat bagi memastikan hanya pelancong dan pelawat yang menerima vaksinasi penuh dengan dos penggalak (dibenarkan masuk) yang mana jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan dan dielakkan,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post