Bomba bantu potong cincin lekat di jari
Anggota bomba membantu memotong cincin plastik di jari telunjuk tangan kiri seorang kanak-kanak. Gambar kredit JBPM |
LAWAS— Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun
terpaksa menahan sakit setelah cincin plastik tersangkut di jari telunjuk
tangan kirinya malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh
Limbang, Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal, berkata pihaknya menerima panggilan
kecemasan daripada Hospital Lawas kira-kira jam 7.35 malam untuk membantu
memotong cincin tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga
kilometer dari balai, didapati seorang kanak-kanak sedang menahan kesakitan.”
“Mangsa sebelum itu telah mencuba pelbagai cara untuk
mengeluarkan cincin tersebut namun gagal berbuat demikian,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Katanya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat
(BBP) Lawas diketuai Pegawai Bomba Kanan
(PBK) II Awang Adani Damit terlibat dalam operasi tersebut.
Pasukan bomba mengambil masa kurang lima minit untuk memotong cincin itu tanpa sebarang kecederaan menggunakan peralatan khas.