Berpesta sabung ayam dalam hutan, 70 lelaki dan tiga wanita diberkas

 

Gambar Hiasan sumber Wikipedia


KUCHING: Seramai 70 lelaki dan tiga wanita dicekup polis ketika leka sabung ayam di sebuah bangsal terbuka yang terletak di dalam hutan di Kilometer 114, Jalan Balingian Mukah tengah hari semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak SAC Lukas Aket berkata, kesemua suspek bertempiaran cuba untuk melarikan diri namun usaha mereka digagalkan dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 12.20 tengah hari oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak dan IPD Mukah. 


Jelasnya, tangkapan itu melibatkan 73 orang iaitu 70 lelaki yang berumur diantara 15 hingga 75 tahun manakala tiga wanita yang berumur 25 hingga 57 tahun. 


"Berdasarkan maklumat, serbuan ke atas sebuah bangsal terbuka yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam di dalam hutan di Kilometer 114, Jalan Balingian Mukah. 


"Semasa serbuan didapati terdapat sekumpulan lelaki bersama beberapa orang wanita sedang leka bermain terup dan sabung ayam. 


"Setelah menyedari kehadiran polis kesemua mereka bertempiaran cuba untuk melarikan diri namun usaha gagal dan seramai 73 orang berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambahnya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai pelbagai nilai berjumlah RM 219,211, 212 cip yang dirampas bernilai RM1,026,850, satu set daun terup, 10 ekor ayam hidup, tiga ekor ayam mati, tiga unit taji ayam, seunit penimbang berat, dua buku nota dan seunit papan putih. 


Tegas Lukas, kesemua suspek ditangkap di bawah Seksyen 3 (1) Langkah- Langkah Pencegahan Dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak sama sekali melibatkan diri dengan mana-mana kegiatan perjudian yang menyalahi undang-undang. 


Ini kerana tegasnya, perbuatan itu akan mendatangkan banyak masalah dari segi kewangan keluarga dan menimbulkan masaalah sosial. 



Next Post Previous Post