Bekas Naib Ketua Pemuda PRS sanggah lantikan Setiausaha Politik Ketua Menteri
Kemarau yang juga bekas Exco Pemuda PRS Pusat mendakwa ramai pemimpin parti itu tidak bersetuju perlantikan Susan, tetapi mengambil sikap berdiam diri.
Dedah beliau, Susan pernah menjadi ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari PRS di Ngemah sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Disember lepas.
“Keahlian Susan dalam PRS menjadi tanda tanya, apa jawatan dan sumbangan dia dalam PRS sehingga tiada wakil berkelayakan lain dilantik sebagai PS mewakili parti PRS,”katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Kamarau yang juga Pengurus Projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Limbang berkata kuota tersebut difahamkan adalah dari Kapit, dan mereka berasa terkesan seolah-olah dia (Susan) saja yang paling layak menjadi PS.
“Setahu saya kuota ini adalah untuk Kapit, kalau bukan saya pun, biarlah wakil ini dilantik dari Kapit,”katanya.
Kata Kamarau lagi ahli parti PRS di seluruh Sarawak perlu membuat pilihanraya penuh parti semasa Mesyuarat Agung Tahunan peringkat bahagian untuk membersihkan parti sekaligus meneruskan mandat parti.
“Mari kita biarkan ahli parti untuk memilih sesiapa yang dimahukan untuk menjadi presiden,timbalan presiden dan jawatankuasa tertinggi lain.
“Kita bukan membelakangkan ketua parti yang membuat keputusan bahawa Jawatan Presiden Parti tidak perlu dipertandingkan.
“Sebaliknya biarlah ahli parti yang membuat keputusan terlebih dahulu,”katanya lagi.
Jelas Kamarau lagi perlantikan PS seharusnya dibuat adalah untuk memperkuatkan parti.
“Tapi dalam PRS ini agak pelik sedikit kerana ahli senior dalam parti tidak dipandang, sebagai contoh di Ngemah dan Kanowit ramai ahli parti yang lebih senior dan profesional kenapa dia (Susan) dilantik oleh PRS?,”soalnya lagi.
Kemarau turut mempersoalkan, adakah PRS sudah menjadi parti yang memberi kepentingan individu atau ingin menolong rakyat?